Keluaran Khas Senheng

09/12/2008, by Utusan

CAWANGAN ke-100 Senheng yang baru dibuka di Jalan Temenggong, Melaka

KAD PlusOne merupakan ganjaran diberikan Senheng kepada pelanggan setianya Senheng mengintai tembusi pasaran antarabangsa
Segala pengalaman yang diperolehi ketika menjadi juru jual dan pengurus kedai di kedai elektrik tidak dipersiakan apabila hari ini Senheng Elektric (KL) Sdn. Bhd. (Senheng), merupakan operator rangkaian kedai elektrik utama di Malaysia.

Menceritakan detik bermulanya empayar Senheng di Malaysia, Lim Kim Heng yang merupakan pengasas dan juga Pengarah Urusan Senheng berkata, segala-galanya bermula 19 tahun lalu apabila beliau mengambil keputusan untuk berhenti menjadi pengurus kedai elektrik seterusnya merancang untuk membuka sebuah kedai kek.

Bagaimanapun setelah kedai kek dibuka, Kim Heng masih tidak berpuas hati kerana jiwanya telah sebati dengan perniagaan berasaskan barangan elektrik.

“Pada mulanya saya ingin lari daripada perniagaan yang berasaskan barangan elektrik, sebab itulah kami memilih untuk membuka sebuah kedai kek.

“Mungkin sebab jiwa saya sudah sebati dengan barangan elektrik maka jiwa saya memberontak, bukannya kedai kek tidak menguntungkan tetapi saya tetap ingin membuka sebuah lagi kedai yang menjual produk elektrik.

“Akhirnya kedai elektrik yang dinamakan Senheng telah dibuka pada tahun 1989 dan beroperasi di premis yang sana dengan kedai kek,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika di temui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Usahawan ini memulakan perniagaannya dengan modal hanya RM90,000 untuk cawangan pertamanya di Pandan Jaya, di sini.

Oleh kerana telah mempunyai pengalaman di dalam bidang penjualan barangan elektrik selama sembilan tahun, ia tidak mendatangkan sebarang masalah buat Kim Heng malah pada bulan pertama kedainya mula beroperasi Senheng berjaya mencatatkan jualan sehingga RM150,000.

Apabila ditanya apakah kunci kejayaannya sehingga berjaya membuka lebih daripada 10 cawangan hanya dalam tempoh empat tahun beroperasi, jelas Kim Heng tiada apa yang istimewa cuma beliau menekankan agar hati pelanggan perlu dijaga serta memberikan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik.

Hasil daripada itulah , Senheng mula berkembang dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, harapkan panas hingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Begitulah yang boleh diibaratkan dengan perniagaan Kim Heng, apabila beliau berada di puncak kejayaan, dirinya ‘terhanyut’ seketika, tetapi beliau bernasib baik kerana cepat sedar daripada kesilapan sendiri.

Akhirnya, Kim Heng bangun semula untuk menaikkan kembali nama Senheng.

Hari ini, selain menawarkan harga yang rendah, tempoh jaminan barangan yang lebih baik dan panjang serta memberi kemudahan bayaran secara ansuran, Senheng akan pastikan setiap pelanggannya berpuas hati selain menerima perkhidmatan yang terbaik.

Bukan itu sahaja malah para pelanggan Senheng juga akan dilayan serta diberi nasihat oleh kakitangan-kakitangan yang berpengalaman.

Bagi Kim Heng dengan cara begitulah beliau menghargai para pelanggannya selain memasarkan barangan yang berkualiti daripada jenama-jenama terkenal seperti Sony, Panasonic, Samsung, Sharp dan Philips.

Sementara itu, menurut Kim Heng, kini Senheng sedang mengintai peluang untuk mengembangkan operasinya di dua buah Negara Asia Tenggara, mulai tahun hadapan.

Negara tersebut inalah Vietnam dan Indonesia yang akan menjadi pemangkin kepada syarikatnya untuk terus menguasai pasaran Asia Tenggara pada masa depan.

Menurutnya, beliau telah berbincang dengan beberapa pihak di negara-negara terbabit dan membayangkan untuk mengadakan usahasama bagi mengurangkan risiko.

“kami kini memiliki keupayaan dan pengalaman yang baik untuk beroperasi di luar negara, tambahan pula jumlah penduduk di negara-negara berkenaan lebih banyak dari Malaysia,”katanya.

Beliau membayangkan Vietnam adalah negara pertama untuk ditembusi pada tahun hadapan.

Katanya, permintaan terhadap baranagan elektrik di Vietnam adalah tinggi memandangkan ekonominya sedang membangun.

“Barangan elektrik seperti televisyen, peti ais, kipas angin adalah antara barangan keperluan penduduk negara itu dan industri jualan barangan elektrik di negara tersebut ketinggalan hampir 10 tahun daripada Malaysia.

“Kami menjangka jualan cawangan kami di luar negara akan mula menyumbang kepada perolehan syarikat menjelang tiga tahun akan datang,” tambah beliau lagi.

Beliau yakin melalui projek terbaru itu akan membantu Senheng muncul sebagai syarikat tempatan pertama dalam industri ini melebarkan sayapnya ke luar negara.

Selain itu, Kim Heng berkata, syarikatnya kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk mencapai matlamat perolehan jualannya lebih daripada RM520 juta pada tahun ini berbanding RM444 juta pada tahun sebelumnya.

Pengasas Senheng itu berkata, perolehan jualan mula meningkat dengan ketara pada tahun 2004 selepas syarikat mula membuka cawangan di bawah jenama

senQ di kompleks membeli-belah utama di bandar-bandar besar seluruh negara.

Tambahnya, pada tahun 2004, perolehan jualan syarikat mencecah sehingga RM282.74 juta berbanding RM176.5 juta pada tahun 2001.

Syarikat itu kini memiliki lebih daripada 100 buah cawangan yang mana 30 daripadanya adalah cawangan di bawah jenama senQ.

Ujar beliau lagi, pelaburan lebih besar akan dibuat untuk membuka cawangan baru senQ di samping menawarkan lebih banyak barangan digital seperti televisyen (TV) nipis termasuk TV Plasma dan TV LCD, kamera digital dan komputer.

“senQ kini menyumbang 40 peratus kepada perolehan jualan syarikat,”jelasnya.

Jelas beliau, daripada keseluruhan cawangan Senheng di seluruh negara, lebih 30 buah cawangannya dibuka melalui konsep francais.

Dalam masa yang sama, selain sibuk menguruskan syarikat, Kim Heng tidak lupa menunaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat yang memerlukan.

Selain menyumbangkan wang ringgit kepada mangsa-mangsa gempa bumi, Senheng juga pernah menjadikan 57 orang anak yatim sebagai anak angkat untuk tempoh tiga tahun dan mereka ditaja sepenuhnya dalam bidang pendidikan, makan minum serta kehidupan seharian.

Menurut Kim Heng, segala sumbangan disalurkan melalui tabung pendidikan di rumah tersebut di mana ia memberi peluang pembelajaran terbaik kepada kanak-kanak terbabit iaitu sebagai bekalan dan persiapan menghadapi masa depan.

“Segala sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab social syarikat kami kepada penduduk negara ini yang tidak bernasib baik,” tambahnya.

Cawangan Ke-100: Senheng mengorak Langkah

Pengendali barangan elektrik dan elektronik tempatan, Senheng Electrik (KL) Sdn. Bhd. Sentiasa berusaha dan mengatur pelbagai tawaran menarik dan menyediakan perkhidmatan terbaiknya bagi memastikan masyarakat akan terus tertumpu pada produk berkualiti yang ditawarkan oleh syarikat tersebut.

Bagi memastikan keperluan masyarakat di seluruh negara dapat dipenuhi, Senheng pada pertengahan bulan lalu telah membuka cawangan terbarunya yang ke-100 di Jalan Temenggong, Melaka.

Pembukaan kedai baru Senheng itu adalah untuk memastikan syarikat terbabit mampu mencapai perancangan dan hala tuju yang digariskan dalam usaha meningkatkan imej dan kemampuan syarikat berkenaan.

Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, Senheng tidak akan menghadkan perniagaan kepada jualan barangan elektrik sahaja termasuk menjadikan semua cawangannya termasuk di jalan Temenggong menawarkan pelbagai barangan elektrik pengguna, komputer dan produk komunikasi.

Katanya, syarikatnya berkeyakinan akan mampu memperoleh pulangan yang memberangsangkan menerusi sambutan pelanggan khususnya dalam tawaran belian pelbagai produk elektrik dan elektronik sempena pembukaan kedai terbarunya di Jalan Temenggong itu.

“Usaha kita menawarkan tawaran belian pelbagai barangan terpilih sehingga 50 peratus telah mendapat sambutan yang amat baik daripada kalangan pengguna, malah ada di antara mereka sanggup beratur seawal pagi biarpun kedai baru ini masih belum dirasmikan pada hari tersebut,” ujarnya.

Katanya, potongan harga dan tawaran belian murah itu menyebabkan orang ramai menyerbu masuk di permis kedai baru Senheng Jalan Temenggong sebaik sahaja majlis perasmiannya.

Tambah Kim Heng, pembukaan kedai baru Senheng di Jalan Temenggong itu merupakan kedai Senheng kelima di negeri ini selepas yang pertama dibuka di Jalan Pokok Mangga, Melaka pada beberapa tahun lalu.

“Pada hari pembukaannya, kebanyakan pelanggan lebih banyak tertumpu kepada belian RM100 ke atas 10 produk elektronik seperti kamera digital, pemain video cakera padat, penyedut habuk, seterika dan periuk nasi elektronik selama empat hari dan ia hanya terhad kepada 20 unit sahaja untuk setiap produk.

“Tidak sampai satu hari sahaja, kesemua barangan elektrik tersebut telah habis dijual seperti goreng pisang panas,” katanya.

Selain itu, katanya, sempena majlis itu juga, pihaknya menawarkan potongan harga sehingga 50 peratus ke atas lebih 50 barangan elektrik terpilih sepanjang empat hari promosi tersebut berlangsung.

Katanya, kemudahan kredit tanpa faedah juga ditawarkan kepada pelanggan yang berhasrat membeli barangan elektrik di cawangan baru tersebut.

Ujarnya, premis baru ini menawarkan pelbagai pilihan barangan elektrik berteknologi terkini daripada pelbagai jenama terkemuka untuk penduduk negeri ini.

Pada masa yang sama, katanya, syarikat tersebut merancang untuk membuka cawangan ke-101 di Ampang menjelang awal bulan depan.

“Pembukaan kedai ke-100 Senheng di Jalan Temenggong merupakan salah satu lokasi strategik yang dipilih oleh syarikat ini dalam usaha memperluaskan lagi rangkaian di seluruh negara.

“Ia bagi membolehkan pelbagai masyarakt mendapatkan kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat ini sekali gus dapat memenuhi keperluan mereka yang ingin mendapatkan pelbagai barangan berkualiti tinggi seperti yang Senheng tawarkan,”katanya.

Menurut Kim Heng, kedai tersebut menawar lebih 1,000 barangan elektronik pelbagai jenama dengan kadar harga berpatutan kepada pelanggan terutama

pemegang kad pelanggan setia Senheng.

Ujarnya, seramai lapan kakitangan termasuk pengurus kedai akan ditempatkan di cawangan baru itu dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Kata beliau, ketika ini, Senheng memiliki kakitangan seramai 1,250 di seluruh negara sejak ditubuhkan pada tahun 1989.

Ujarnya, boleh dikatakan perkhidmatan kedai Senheng pada masa ini telah berjaya meliputi keseluruhan kawasan di seluruh negara kecuali Perlis.

Kad PlusOne memberi faedah kepada pelanggan Senheng

Dengan menggunakan slogan ‘Beza…Memang Berbeza’ Senheng Electric (KL) Sdn. Bhd. (Senheng) sememangnya berbeza apabila menghargai para pelanggannya dengan membuka keahlian melalui kad kesetiaan kad PlusOne.

Mula diperkenalkan kepada pelanggan pada Jun 2002, kini kad PlusOne mempunyai keahlian seramai 850,000 orang seluruh Negara.

Pengarah Urusannya, Lim Kim Heng berkata, sejak kad PlusOne dilancarkan sehingga kini, Senheng telah menanggung kos membaiki barangan sebanyak RM10 juta.

“Bila pelanggan menjadi ahli melalui kad PlusOne, secara automatiknya mereka ini akan menerima faedah seperti tambahan satu tahun jaminan ke atas semua barangan elektrik yang dibeli, mengumpul mata, menikmati promosi yang disediakan serta penghantaran percuma untuk belian RM500 dan ke atas.

“Segala yang diberikan kepada pelanggan adalah usaha Senheng untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan yang setia dengan Senheng,” ujarnya ketika ditemuidi pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, dengan hanya membayar RM12 setahun, para pemegang kad PlusOne pastinya akan berasa berbaloi kerana mereka juga berpeluang mendapat potongan harga yang menarik di samping menebus pelbagai barangan melalui pembelian menggunakan kad PlusOne.

Jelas Kim Heng lagi, dalam usaha memberikan yang terbaik kepada para pelanggannya, Senheng turut menjalinkan kerjasama dengan bank RHB dengan menawarkan kad kredit RHB PlusOne.

Seperti kad PlusOne, pemegang kad kredit RHB PlusOne juga layak menikmati segala keistimewaan yang ditawarkan Senheng.

Untuk menjadi ahli bagi kedua-dua kad tersebut, permohonannya tidak tertakluk dengan sebarang syarat malah dalam masa yang sama Senheng turut menawarkan pembayaran secara ansuran kepada para pelanggannya.